Wednesday, January 19, 2011

Mula dari A Semula

Semalam berpeluang menghadiri kelas Us Hairul Nizam Mat Husain, mantan Presiden PMRAM, sedang menuntut di peringkat Master Al Azhar. Beliau mengajar berdasarkan buku Silsilah Hadith-hadith Terpilih dari Sahih Bukhari.

Sudah lama aku tak merasakan nikmat dicurahkan ilmu seperti semalam, niat untuk menuntut ilmu sebanyak mungkin timbul semula, yang sebelum ini hilang setelah berlaku beberapa kejadian.

Berada di peringkat pimpinan memerlukan aku kefahaman islam yang betul, kerana pimpinan amat mudah terdedah kepada kesalahan, dan jika berlaku akan melibatkan ramai orang bukan sekadar dirinya sahaja.

Kepimpinan perlu mengambil iktibar bagaimana tawaduknya seorang ulama' meskipun di sisi Allah darjatnya adalah amat tinggi, merasakan dirinya berdosa sedangkan di pandangan khalayak ramai dia amatlah mulia.

Ulama' sanggup merantau jauh dengan niat untuk menuntut ilmu sehingga sebahagian mereka meninggal di perantauan dan sebahagian lagi sempat pulang ke kampung halaman. Penat lelah mereka demi memastikan kalam-kalam nabi sampai kepada kita hari ini.

Saya amat risau, jika pimpinan tidak memiliki kefahaman Islam yang mendalam, semakin lama mereka semakin sombong, ego, kurang turun padang menyebabkan mereka semakin jauh dengan ahli. Penat lelah mereka demi memuaskan nafsu sendiri.

Kerana itulah saya melihat hadith yang dibacakan oleh Us Hairul Nizam di akhir kelas amat penting sekali, hadith yang tidak asing tapi amat susah diamalkan, iaitu berkenaan Niat.

Aku sendiri amat berharap keterlibatan aku dalam kerja-kerja PCM dan Islam ini berada pada landasan niat yang betul, jika tidak sia-sia sahaja semua.

sekian.

p/s : aku sengaja menukar adress blog aku ni, supaya tidak ramai orang membacanya, mudah untuk aku belajar menulis.

Tuesday, January 11, 2011

Kasihmu..

Baru lepas menalipon umiku di Malaysia. Rasa gembira dan tenang hati ini selepas mendengar suara umi.Pelbagai cerita dikongsi antara kami. Walaupun rasa rindu sedikit terubat tetapi kerinduan untuk pulang ke Malaysia tetap bertambah.

Umiku yang kian bertambah usianya, tetap terus gigih mencari rezeki untuk anak-anaknya. Pernah umi menyatakan hasrat untuk berehat sahaja tapi hasrat itu tidak dapat mengatasi kasih sayang kepada anak-anaknya yang masih bersekolah terutamanya.

Karenah anak-anaknya yang seramai sembilan orang dilayan dengan penuh kasih sayang. Dahulu tidak aku mengerti semua ini sehingga tindak tanduk ku melukai hati umi.

Masalah demi masalah yang umi hadapi, kadang-kadang aku hanya dapat mendengar dan memandang dari jauh sahaja. Rahmat dan berkat Allah sepanjang usiamu sentiasa dalam doaku.

Maafkanku umi atas segalanya, aku berjanji untuk belajar bersungguh-sungguh dan menjadi insan yang dapat memberi manfaat supaya dapat aku berbakti kepada umi di kemudian hari.

(kakakku, adik-adikku dan umi)

p/s : posting ini hanya utk mengubat kerinduan dan menguatkan lagi diri ini untuk terus memberi

Monday, January 10, 2011

Fekah Perubatan : Terapi Solat Pulihkan Mati Pucuk

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Kajian saintifik menunjukkan masalah mati pucuk yang menghantui 40 peratus lelaki dunia berusia 40 tahun ke atas boleh diatasi dengan menunaikan solat.

Berita gembira itu dibuktikan melalui kajian saintifik seorang pakar kejuruteraan bioperubatan Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr. Fatimah Ibrahim.

Beliau berjaya mengurangkan tahap mati pucuk dua lelaki selepas sebulan menjalani terapi solat yang diperkenalkan olehnya.

Katanya, melalui terapi itu seseorang lelaki yang bermasalah perlu menunaikan solat sebanyak 12 rakaat secara berterusan dalam masa setengah jam sebanyak tiga kali seminggu.

“Sebagai contoh seorang pesakit boleh menunaikan solat sunat empat rakaat sebelum dan selepas menunaikan solat Zuhur untuk tujuan terapi itu.

“Setiap pergerakan dalam solat didapati merangsang otot lantai pelvik. Kami sedang kaji kedudukan mana di dalam solat paling banyak menyumbang ke arah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Seminar Sains Solat Peringkat Kebangsaan 2009 oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.


Kajian Fatimah itu sebahagian daripada projek penyelidikan saintifik UM mengenai kebaikan solat kepada tubuh badan manusia hasil cetusan idea Abdullah pada 2005.

Antara kajian lain di bawah projek itu adalah kesan positif solat kepada ketenangan minda, kesihatan jantung dan masalah sakit pinggang.

Menjelaskan mengenai terapi solat, Fatimah berkata, lelaki yang bermasalah akan dipasang sejenis alat khas untuk mengesan ketegangan zakar sewaktu mereka tidur.

Katanya, seorang lelaki normal akan mengalami ketegangan zakar antara tiga hingga enam kali sewaktu tidur selama 10 minit dengan isipadu ketegangan 200 peratus.

“Ada dua pesakit telah berjaya mengurang dan memulihkan tahap mati pucuk selepas menjalani terapi solat selama sebulan dengan mengalami sedikit ketegangan.

“Memang pakar perubatan mencadangkan lelaki mati pucuk melakukan senaman otot lantai pelvik tetapi dengan bersolat otot berkenaan dapat diregangkan secara automatik.

“Ini menunjukkan solat bukan sahaja ibadah wajib tetapi merawat fizikal dan minda,” tegasnya.

Ulasan: Cintakan dunia, dunia akan lari. Bila cintakan akhirat, dunia akan datang berlari-lari dengan segala isi kekayaan kepada kita ATAU jika kamu mengejar dunia, dia akan semakin jauh (lari) meninggalkanmu, sebaliknya jika kamu meninggalkannya maka dia akan datang mencarimu.

sumber : laman web fekah perubatan papisma

Banyak lagi info-info fekah perubatan yang menarik, boleh bukak sendiri :)

Apakah itu PAPISMA ?PAPISMA adalah merupakan nama ringkas untuk Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia yang merupakan sebuah Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) yang berdaftar. Ia mula ditubuhkan pada tahun 2004 dengan dianggotai oleh gabungan tenaga-tenaga profesional kesihatan yang antara lain tujuannya adalah untuk membimbing ahli dan masyarakat dalam meningkatkan kesedaran dan kefahaman tentang sistem penjagaan kesihatan dan perubatan.

PAPISMA sentiasa berusaha sedaya upaya untuk membantu masyarakat nasional dan global memahami dan menjiwai kaedah serta sistem perubatan dan perawatan yang selari dengan al-Qur’an dan Sunnah serta tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

Sehingga kini PAPISMA telah menjalankan pelbagai aktiviti untuk masyarakat dalam usaha meningkatkan kesedaran dan kefahaman tentang penjagaan kesihatan melalui pelbagai kaedah seperti rawatan kesihatan percuma, bengkel-bengkel kesihatan, ceramah-ceramah, pameran dan sebagainya.

Berpegang kepada moto pertubuhan : Berilmu, Beramal dan Bertaqwa, maka kini PAPISMA sedang mengorak langkah untuk menerbitkan sebuah buku berkaitan fiqh perubatan selaras dengan ILMU di dada kami, untuk dikongsi dan di AMALkan dalam rangka membina masyarakat dan insan yang berTAQWA.

sumber : laman web rasmi papisma

p/s :

1.saya terfikir untuk memperkenalkan PAPISMA di peringkat PCM dan PERUBATAN.. harap-harap cadangan saya ni diterima oleh rakan pimpinan.

2. Mungkin PCM ataupun PERUBATAN boleh menganjurkan aktiviti semasa cuti musim panas dengan kerjasama PAPISMA.