Saturday, September 25, 2010

Kenyataan Rasmi PCM tentang Kekecohan semasa Program SINAR '10

KENYATAAN RASMI TENTANG SINAR 10

http://farm5.static.flickr.com/4149/5023056976_6c2f1e5108_m.jpg

Assalamu'alaikum W.B.T

Bismillah walhamdulillah, segala puji bagi Allah,Tuhan sekalian alam kerana rahmatnya yang melimpah ruah buat kita. Selawat dan salam buat Junjungan mulia Rasulullah saw serta buat seluruh ahli keluarga baginda,sahabat-sahabat dan pembawa risalah kebenaran sekalian.

Merujuk kepada sedikit kekecohan yang berlaku semasa program Seminar Akademik (SINAR '10) yang telah diadakan pada hari Khamis,23 September iaitu 2 hari lepas,saya mewakili pihak PERUBATAN Cawangan Mansurah (PCM) dengan ini akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi untuk memberi penjelasan yang sebenar berkenaan isu ini kepada mahasiswa/i Mansurah khususnya kepada mahasiswa/i baru bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan dan salah faham antara mahasiswa/i baru dengan persatuan PCM.

Penerangan Masalah Yang Timbul

Program ini yang pada awalnya bermula dengan lancar sekali seawal jam 1.30 petang dengan kehadiran mahasiswa/i baru sekitar 160 orang memenuhi ruang Dewan Handusah, Fakulti Perubatan Universiti Mansurah. Turut hadir dalam program ini adalah Dr Raouf El Nafees selaku Timbalan Dekan Fakuti Perubatan, Dr Nesreen Salah Omar selaku koordinator bagi mahasiswa/i antarabangsa Fakulti Perubatan, Dr Said Elhady selaku Pengarah Program Perubatan Mansoura-Manchester dan turut hadir ialah Dr Muhammad Hussin mewakili agensi Global Medic Network (GMN).

Setelah kesemua dif-dif dijemput menjamu selera, keadaan menjadi tegang apabila pegawai GMN tiba-tiba memberi arahan meminta semua mahasiswa/i di bawah agensi GMN untuk keluar daripada dewan. Mahasiswa/i yang sedang bersemangat untuk menyertai program tiba-tiba diarahkan untuk pulang atas sebab-sebab tertentu.

Barisan AJK pelaksana program cuba berunding dengan pegawai GMN agar membenarkan mahasiswa/i untuk terus mengikuti Seminar Akademik ini, namun terpaksa akur kerana pegawai GMN tetap dengan keputusan mereka .

Barisan AJK pelaksana program terpaksa melihat sahaja mahasiswa/i yang rata-ratanya kelihatan keliru pulang bagi menyiapkan urusan seperti yang didakwa.

Selepas itu, agenda program terus berjalan seperti yang dirancang dengan disertai oleh mahasiswa/i di bawah agensi Medicmesir sahaja disebabkan kekecohan ini. Program diteruskan dengan ‘Forum Mahasiswa Berkarisma' dan ‘Bengkel Kecemerlangan’ seperti yang dirancang.

Penjelasan Kepada Permasalahan Yang Timbul

Menjawab kepada permasalahan yang timbul, saya ingin menjelaskan bahawa :

1. Pihak Universiti Mansurah telah memberi kepercayaan kepada PCM untuk menguruskan Program SINAR '10 kerana mahukan keterlibatan daripada semua mahasiswa/i tidak kira datang daripada mana-mana agensi atau yayasan sekalipun.

2. Program SINAR ’10 adalah program tahunan Universiti Mansurah dan PCM yang telah diadakan sejak tahun-tahun yang lalu untuk semua mahasiswa/wi baru.

3. Pihak PCM berpendapat bahawa program SINAR '10 ini sangat penting sebagai persiapan dan persediaan mental dan fizikal mahasiswa/i baru untuk melangkah ke alam kuliah yang akan bermula beberapa hari lagi.

4. Sehari sebelum program ini diadakan, Pihak PCM dengan diketuai oleh saya selaku Pemangku Pengerusi bersama-sama Pengarah dan Timbalan Pengarah Program Sambutan Mahasiswa/i Baru (PSMB) telah berjumpa dengan Dr Muhammad Hussin selaku pegawai atasan Global Medic Network (GMN). Perjumpaan ini bertujuan mendapatkan respon mengenai Program SINAR ’10 yang turut melibatkan mahasiwa/i di bawah agensi GMN. Namun perjumpaan ini tidak membuahkan hasil yang positif.

5. Untuk makluman semua, PERUBATAN Cawangan Mansurah adalah satu-satunya persatuan mahasiswa/i perubatan di Mansurah yang berdaftar dan bernaung di bawah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) / MalaysianStudent Department (MSD)

Makluman Khas

1. PCM masih lagi mengambil pendirian untuk membuka penyertaan setiap program PCM kepada semua mahasisawa/i baru tidak kira daripada agensi mana sekalipun.

2. Kepimpinan dan ahli PERUBATAN Cawangan Mansurah adalah terdiri daripada mahasiswa/i daripada semua agensi dan tajaan seperti JPA, MARA, Baitulmal, Yayasan Terengganu, Yayasan Islam Kelantan (YIK), GMN, Medicmesir, Akademi Quran
(AQ), Kelantan Medical Service (KMS) dan lain-lain.

3. Pihak PCM melalui fasilitator-fasilitator yang telah dilantik akan terus menghulurkan bantuan dan khidmat kepada seluruh mahasiswa/i baru.

Harapan

Saya mewakili PERUBATAN Cawangan Mansurah memohon maaf kerana tidak menyangka program berbentuk akademik ini mendapat halangan pihak tertentu. Moga-moga dengan penjelasan ini, segala kekeliruan dan persoalan berkenaan dengan isu ini akan terjawab. Akhir kalam, diharapkan seluruh mahasiswa/i dapat menghidupkan suasana harmoni, saling bantu-membantu, nasihat-menasihati dan bersatu di bawah payung PERUBATAN Cawangan Mansurah (PCM) tanpa mengira perbezaan jurusan, agensi serta tajaan. Sekian terima kasih. Siiru ‘ala barakatillah.

‘ILMUAN BERBAKTI, TEGUH SEHATI’

‘AT-TAQWA, AS-SYIFA’, AR-RAHMAH’

Yang benar,

AHMAD AZIZI BIN MD JUSOH

Pemangku Pengerusi,

PERUBATAN Cawangan Mansurah 2009/2010

Friday, September 24, 2010

berpenat-penat psmb, ape hasil kat akhirat nanti?

Gerak kerja PSMB sudah bermula. Jika di dalam post sebelum ini saya memberitahu tentang perancangan yang sudah bermula seawal sebelum raya lagi.

Kali ini, gerak kerja PSMB telah bermula 20hb lepas. Semenjak itu, kami menerima pelbagai ujian, terkini adalah semasa menganjurkan program SINAR '10 hari khamis lepas.Namun , bagi saya inilah yang menunjukkan kita di atas jalan yang benar dan menjadikan gerak kerja bertambah menarik selain sebagai muhasabah untuk kelancaran program seterusnya. Biarpun hati begitu marah, fikiran tak menentu tetapi itu lah adat. Kerja yang tiada ujian itulah ujian sebenarnya. PSMB akan terus bergerak meskipun banyak ujian. Tumpuan kebajikan kepada adik-adik baru harus diutamakan berbanding masalah-masalah lain.

Mengenai masalah yang kami hadapi semasa program SINAR'10 khamis lepas, saya amat teringin menceritakan kepada semua pembaca blog ini. Bukan lah bertujuan meningkatkan 'rating' pembaca, tetapi untuk membuka pemikiran semua orang. Siapa sebenarnya mereka dan siapa kami sebenarnya. Tetapi saya menanti dahulu kenyataan rasmi ataupun laporan rasmi daripada PCM sendiri, selepas itu, jika ada masa, saya akan meluangkan untuk menceritakan berkenaannya.

Saya juga lihat begitu banyak pengorbanan yang dilakukan. Ada sahabat-sahabat kita yang pergi ke airport untuk menyambut adik2 baru gmn seawal jam 2.30 pagi, pergi ke sana hanya semata-mata melambai-lambai. Malah berkongsi duit sesama sendiri untuk membayar pengangkutan pergi balik airport-mansurah. Sesampai di mansurah, terus berkhidmat sebagai fasilitator, bersusah payah mencuba untuk 'menembusi' blok GMN yang 'dikawal rapi' kerana mahukan kebajikan adik2 tidak terabai. Mereka sentiasa bersedia dan sanggup menghadiri mesyuarat tergempar fasilitator selama 3 kali di dalam satu hari yang mana mesyuarat tergempar ke 3 tamat pada pukul 1 pagi. Kemudian seawal jam 8 pagi mula bekerja menghantar makanan kepada adik2 GMN.

Benarlah tulisan Us Nasrudin Hassan Tantawi dalam buku karangannya Fiqh Haraki. Tiada hidayah tanpa dakwah, tiadah dakwah tanpa perjuangan dan tiada perjuangan tanpa pengorbanan. Semuanya kerana mahu menyebarkan kefahaman agama Islam dan melihat syurga sebagai tempat kembali mereka. Moga-moga saya digolongkan di dalam golongan mereka.

Buku-buku pengisian jiwa amat penting semasa bekerja ini. Cuba luangkan sedikit masa untuk membaca buku-buku haraki terutamanya. Kerana selain bekerja dan berpersatuan kita perlu selarikan dengan kefahaman. Kerana berpersatuan tanpa kefahaman tidak menjadi. Kita lihat berapa ramai orang yang mampu kerja berpersatuan, tetapi apabila balek bercuti ke Malaysia ataupun sudah tamat belajar, tidak bekerja dengan platform2 di malaysia pula. Kita tidak mahu tanpa kefahaman, gerak kerja berpenat-penah kita ini, bila di akhirat semuanya kosong, tiada hasil. Nauzubillah. Semoga allah memberikan kefahaman kepada kita semua.

Saya menceritakan sedikit rentetan gerak kerja PSMB kali ini, kerana setakat ini saya lihat masih tiada yang menceritakannya.

20haribulan - kedatangan mahasiswa/wi baru YT (sebahagian kecil dari jumlah asal)
21haribulan - kedatangan mahasiswa/wi baru Medic Mesir dan YT (baki sebahagian besar nya)
22haribulan - kedatangan mahasiswa/wi baru GMN
23haribulan - program SINAR'10
akan datang - Sukan
akan datang - MESRA '10

Pendapat saya, amat rugilah mereka yang pulang ke Malaysia. Ingat, peluang ini tidak datang sekali-sekala, peluang ini tidak memerlukan anda, peluang ini jugak tidak akan menunggu anda, amat sia-sialah mereka yang pulang tanpa alasan yang lebih kukuh daripada peluang ini. Anda yang seharusnya menanti peluang ini, mencari malah anda yang amat memerlukan peluang ini.

Result pun sudah keluar, Kepada yang tidak berjaya, saya harus ucapkan tahniah , anda sudah berusaha sebaik mungkin, anda sedang diuji samada anda yakin atau tidak keputusan peperiksaan itu adalah kuasa Allah s.w.t semata-mata bukan kerana usaha gigih anda. Yang penting teruskan usaha kerana itu tanggungjawab kita. Kepada yang berjaya, tahniah saya ucapkan juga, jua takziah saya ucapkan kerana anda jugak sedang diuji samada dengan nikmat dunia. Ramai sekali di kalangan kita yang menyangka kerana usaha merekalah, mereka berjaya, sedangkan semua itu ditangan Allah, kalau anda usaha segigih manapun, jika gagal Allah tetapkan, maka gagallah anda.Yang penting teruskan usaha kerana itu tanggungjawab kita.

Akhir sekali, kuliah pergigian sudah bermula, mansoura-manchester sem 6 ke atas sudah bermula, Sem 5 ke bawah akan bermula esok tetapi kelas sebenar-benar sem 1 -5 bermula selasa ini. Bagi farmasi saya tidak pasti. Tahun 1 2 3 konvensional akan bermula hari ni (sabtu). Tahun 4 dan 5 masih samar-samar.

Selamat belajar saya ucapkan, bagi yang bekerja, imbangi masa sebaik2nya, lihat pimpinan-pimpinan kita samada di Malaysia mahupun Nabi Muhammad s.a.w. sendiri. Walaupun sibuk dengan kerja-kerja Islam, kerja-kerja lain tetapi tidak diabaikan. Pandai-pandailah memilih mana yang lebih utama.

Selamat bekerja, Selamat belajar. Selamat kembali ke sekolah.

Thursday, September 16, 2010

Lambaian Mahasiswa Baru


Bermula esok, mansurah akan menerima kehadiran penduduk baru. Ahlan Wasahlan diucapkan kepada mahasiswa/wi baru yang bakal menerima 1001 ilmu, pengalaman dan ujian sepanjang menjadi penduduk di bumi mansurah ini.

PSMB yang akan berlangsung selama sebulan bermula 17 september sehingga 17 oktober ini melibatkan begitu ramai tenaga kerja. Ada yang sudah bekerja seawal sebelum raya, ada yang mula menyertai hari ini. Jika sudah nama bekerja, pastinya pelbagai dugaan dan mehnah akan dihidangkan. Selamat bekerja saya ucapkan!

Amat rugilah bagi mereka yang pulang ke Malaysia tanpa sebab yang lebih kukuh berbanding membantu kebajikan dan menyebarkan kefahaman Islam kepada mahasiswa/wi baru dan ahli-ahli pcm amnya. Peluang untuk melibatkan diri dalam kerja-kerja sebegini bukanlah datang pada setiap waktu, jika di kala kuliah sudah bermula, alasan kuliah dijadikan alasan untuk tidak bekerja. Tetapi selepas tamat peperiksaan, bergegas pulang ke Malaysia, sehingga dua tiga bulan seolah-olah bumi mesir ini tiada khazanah yang perlu digali.

****************************************************

Saya ada menemui satu video gerak kerja ala-ala PSMB oleh persatuan kampus ISIUKM. Bagi saya sendiri, video ini memberikan saya semangat selain idea-idea untuk diaplikasikan dalam gerak kerja PSMB PCM.




********************************************************************************

Saya dikelilingi sahabat-sahabat yang pelik.


Mereka sangat mengambil berat tentang urusan rakan-rakan mereka yang lain.Mereka sangat bermotivasi menolong rakan-rakan yang memerlukan bantuan tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

Kalau ada akhawat yang mahukan beras mereka sanggup memikul beras yang 25 kilo itu walaupun rumah akhawat itu di tingkat lima imarah yang tidak mempunyai lif.Walaupun mungkin di rumah mereka sendiri hanya Indo Mee perisa sayuran sahaja yang menjadi pelapik perut.

Kalau ada pelajar yang baru pulang bercuti dari Malaysia mereka sanggup menjemput mereka di lapangan terbang sehingga sakit belakang mereka kerana duduk selama 4 jam di dalam tremco ammu Magdi pergi dan balik.Bahkan mungkin mereka tidak pernah kenal pun pelajar yang mereka jemput itu.Mereka tidak kisah siapa pun orang itu kerana yang penting bagi mereka ialah mereka mesti tolong orang yang dalam kesusahan.

Yang terbaru,mereka sanggup untuk menjadi musyrif untuk adik-adik baru yang akan sampai ke Mansurah pertengahan September ini untuk program PSMB 2010 PCM.

Rela menjadi musyrif bermaksud rela meluangkan masa dua tiga jam menemani adik-adik ke sikah atau awadallah.

Rela menjadi musyrif bermaksud rela memasak untuk adik-adik atau menjemput adik-adik makan di rumah memandangkan adik-adik belum cekap lagi bermain dengan kuali dan periuk.

Rela menjadi musyrif bermaksud sudi mengajak adik-adik membuat perkara-perkara baik dan menasihati adik-adik supaya menjauhi perkara-perkara mungkar dengan penuh kasih sayang sebagai seorang abang dan seorang muslim.

Senang kata rela menjadi musyrif bermaksud rela mengorbankan kepentingan mereka sendiri untuk adik-adik baru mereka.

Sungguh pelik mereka ini.

Agaknya inilah yang disabdakan oleh Nabi SAW,

”Tidak beriman seseorang itu sehinggalah dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.”riwayat Bukhari dan Muslim.

Agak-agaknya hadis inilah yang mereka pegang sebagai motivasi sehingga segala kesusahan yang mereka hadapi untuk kepentingan saudaranya nampak ringan di mata mereka.

Atau mungkin juga mereka berpegang dengan hadis ini,

“Sesiapa yang melepaskan bagi seorang mukmin satu kesusahan dari kesusahan-kesusahan dunia,Allah akan melepaskan baginya satu kesusahan dari kesusahan-kesusahan pada hari kiamat nanti.”hadis riwayat Muslim.

MEREKA YANG PELIK.

Boleh jadi juga mereka berpegang dengan hadis ini kerana hati kecil mereka yakin Allah akan sentiasa menolong mereka sebagaimana mereka telah menolong orang lain.Sabda Nabi SAW,

“Allah akan sentiasa menolong seorang hamba itu selama mana dia menolong saudaranya yang lain.”hadis riwayat Muslim.

Saya tidak pasti hadis atau ayat suci al Quran mana yang menjadi pegangan mereka.Yang saya pasti mereka sanggup bersusah-payah untuk orang lain.

Hati saya berputik cinta terhadap mereka ini.Kalau di akhirat nanti mereka dikumpulkan bersama orang-orang soleh disebabkan amalan soleh mereka ini,maka saya berdoa agar Allah turut mengumpulkan saya bersama mereka.

Semoga Allah menolong mereka yang pelik ini di dunia dan di akhirat nanti.Amin.

Selamat berPSMB.

Sahabatmu yang pelik namun kagum denganmu,

nabil.

-artikel dipetik dari blog pcm

Saturday, September 4, 2010

Selamat Hari DeepaKrismaBuddhaRaya



KUALA LUMPUR, 5 Sept: Dewan Pemuda PAS Pusat akan menghantar surat bantahan ke stesen TV3 dan juga kepada Kementerian Penerangan berkaitan siaran iklan Aidil Fitri yang didakwa mengelirukan.

Iklan tersebut didakwa seperti cuba menyamakan perayaan Aidil Fitri dengan unsur-unsur Krismas, Hindu dan Buddha apabila memuatkan elemen menaiki beca terbang ala Santa Claus, bunga teratai dan pelita.

Bantahan tersebut akan dihantar pada Isnin ini, 6 September 2010.

"Iklan Aidil Fitri ala Santa Claus ini juga dilihat sebagai satu perbuatan menghina agama Islam dan mendidik penonton khasnya kanak-kanak menjadi syirik.

"Ia sangat mengguris perasaan dan sensitiiti ummat Islam," kata Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasruddin Hassan.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS katanya menggesa agar TV3 segera membatalkan penyiaran iklan tersebut.

"Kalaupun pihak mereka mahu mempromosikan 1 Malaysia , janganlah keterlaluan sehingga mengenepikan persoalan sensitif mengenai agama dan pegangan hidup ummat Islam," katanya lagi.

Selain itu mereka mendesak agar TV3 memohon maaf kepada ummat Islam di atas penyiaran iklan yang bercanggah dengan Syara' dan memberi gambaran yang salah tentang Aidil Fitri sebagai satu hari yang mulia dalam diari ibadah ummat Islam .

Manakala Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) pula diges memantau iklan, filem dan drama yang bertentangan dengan nilai dan syariat Islam sepanjang perayaan ini.

"Nampaknya tidak memadai iklan atau filem ditapis oleh pihak Finas jika perkara-perkara yang menjejas nama baik Islam masih terus berleluasa di dalam media elektronik negara kita," katanya.

Sementara itu, iklan tersebut juga mendapat kritikan hebat uamat Islam di laman FaceBook yang mandakwa TV3 sengaja mahu membangkitkan kemarahan orang Islam.

Mereka juga mendakwa, iklan tersebut adalah yang paling rendah nilai dalam sejarah iklan TV3.

p/s :

1. Alhamdulillah PCM sudah 'akad' dewan baru. Sekarang sedang dalam proses gerak kerja Jawatankuasa Usaha Dana Dewan .. akan diwar-warkan kemudian.

2. Mansurah sudah semakin sunyi.